Selasa, 29 November 2011

Salam Maal Hijrah 1433H


Firman Allah S.W.T yang bermaksud di dalam surah Al-Taubah ayat 20 :
 "(Sesungguhnya) orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang Yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang Yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."
Hijrah adalah merupakan puncak pengorbanan Rasul S.A.W dan para sahabat. Kesedihan dan pengorbanan ketika meninggalkan kota Mekah yang dicintai bererti meninggalkan tanah tumpah darah, sanak saudara dan harta demi satu matlamat iaitu demi Islam. Kecintaan Baginda S.A.W terhadap Mekah dan seisinya diketepikan atas arahan dan perintah dari Allah S.W.T, hingga Baginda menitiskan airmata seraya berkata : “Sesungguhnya kamu adalah negeri yang paling saya cinta, jika penduduk kamu tidak mengusirku nescaya aku tidak akan keluar.”

Peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah telah diperakui oleh para cendekiawan Islam sebagai peristiwa yang cukup besar ertinya dan maknanya dalam sejarah Islam. Perkara ini telah pun disepakati di dalam muktamar para sahabat yang mulia.

Signifikan pemilihan peristiwa hijrah sebagai asas tahun dalam taqwin Islam juga membuktikan bahawa hijrah itu adalah pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia adalah satu pilihan yang didilhamkan oleh Tuhan dalam mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama.

Sememangnya perjalanan hijrah itu adalah perjalanan suci yang bermula kerana Allah S.W.T dan untuk Allah S.W.T. Oleh kerana itulah perjalanan Baginda dipenuhi keyakinan kepada jaminan dan perlindungan Allah S.W.T. Bermula dari konspirasi jahat dan kepungan pahlawan-pahlawan Quraisy yang mahu membunih Baginda, gerak kerja yang diilhamkan Allah S.W.T kepada si merpati yang hingga membuat sarang di Gua Tsur sehingga tersungkurnya Suraqah Ibnu Malik yang berkeinginan membolot sejumlah kemewahan dan ganjaran. Semuanya itu adalah bukti bahawa perjalanan suci ini mendapat jaminan dan perlindungan dari Allah S.W.T.

Maka tanyalah pada diri kita, adakah perjalanan kita di muka bumi ini bermula kerana Allah S.W.T dan untuk Allah S.W.T? Berapa kalikan di saat kita kesempitan dan kekurangan tiba-tiba datang pertolongan Allah S.W.T? Berapa banyak musibah dan ujian Allah didatangkan kepada kita lantas kita memohon pertolongan Allah S.W.T? Berapa kalikah ketika mana perpecahan umat Islam khususnya Umat Melayu Islam berlaku kita seru dan laungkan semula untuk bersatu atas nama Allah S.W.T? Demikianlah hijrah datang untuk bertanya soalan demi soalan saban tahun untuk kita jawab.

Khamis, 24 November 2011

HIJRAH RASULULLAH S.A.W. BERSAMA ABU BAKAR R.A.


Dari Aisyah r.a katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi nabi saw. pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. Berkata Abu Bakar,"Nabi saw. tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting."

Ketika Nabi saw. masuk ke tempat Abu Bakar, baginda bersabda kepadanya. "Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar."

Berkata Abu Bakar:"Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma'."

Sabda Nabi saw. "Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?"

Berkata Abu Bakar,:"Anda perlu teman, ya Rasulullah!"

Sabda Baginda,:"Ya, kawan."

Berkata Abu Bakar,:"Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja ku sediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda."

Sabda Nabi,"Ku ambil seekor dengan harganya."
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Huraian Hadith:
Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab dalam masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah.

Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula yang mencadangkan tahun kewafatan baginda. Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar memandangkan Hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaiman katanya: " Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah s.a.w. kerana hijrahnya itu adalah merupakan perbezaan antara yang benar dengan yang batil."

Pendapat ini disokong oleh Saidina Ali.

Sebenarnya, wujud jalinan perkaitan antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut ˜peredaran' matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.
Sumber : JAKIM

Isnin, 21 November 2011

Sumbangan untuk Anak Yatim Sekolah Abu Nur, Pengkalan Hulu

Isnin, 12 November 2011
KADIR berusaha meringankan beban anak-anak yatim menempuh alam persekolahan baru dengan menghulurkan bantuan semasa cuti sekolah. Sumbangan adalah berbentuk uniform, kasut, beg dan peralatan menulis serta buku. 

Satu Majlis Penyerahan Sumbangan Uniform Sekolah telak di adakan untuk anak-anak yatim Sekolah Abu Nur, Pengkalan Hulu. Majlis disempurnakan oleh Dato' Abdul Jamil bin Kasa bagi pihak KADIR. Sumbangan adalah untuk lebih 160 anak gadis sekolah berkenaan.

















YAB Menterui Besar Perak telah sudi mengadakan majlis ini di Kediaman Rasmi beliau. Tetamu diraikan dengan jamuan makan tengahhari.




Jumaat, 18 November 2011

Majlis Bacaan Yaasin Dan Solat Hajat

18 November 2011 : Majlis Bacaan Yaasin Dan Solat Hajat yang menjadi kebiasaan diadakan  semalam di Kediaman Y.A.B. Menteri Besar Perak. Seramai lebih kurang 350 orang telah hadir ke program ini yang terdiri dari pelajar-pelajar, kakitangan kerajaan Imam Besar Masjid Negeri Perak serta jemputan-jemputan lain. Majlis ini dimulakan dengan alunan Zikir Munajat, bacaan yaasin dan solat hajat selepas maghrib. Sebelum bersurai para jemputan semua dihidangkan dengan jamuan makan malam dalam talam. Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.









Khamis, 17 November 2011

Silaturrahim


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya."
(Hadis Riwayat Imam Tabrani) 
Huraian Hadith:

i) Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.
ii) Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
iii) Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.
Sumber : JAKIM

Rabu, 16 November 2011

Bantuan Allah S.W.T.

Dari Abdullah bin Abu Aufa r.a katanya, rasulullah s.a.w di hari perang Ahzab mengucapkan:
"Ya Allah, yang menurunkan kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka."                                       
 (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Huraian Hadith:

Peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslim akibat kekalahan dalam Peperangan Uhud. Kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar. Ribuan pasukan yang terdiri dari puak Quraisy dan sekutunya yang terdiri daripada kaum Quraisy, bani Asad, bani Kilab, ban Syaiban, ban Ghatafan dan hampir seluruh kabilah yang sepakat akan menyerang kaum muslimin di kala itu. Mereka semua berjumlah tidak kurang daripada 100 ribu orang. Mereka berkumpul dan mengepung dari Utara Madinah. Pada ketika itu, kaum Yahudi menyerang kaum muslimim dari belakang. Namun begitu, dengan pertolongan Allah S.W.T bala tentera yang ramai itu dapat dikalahkan oleh kaum tentera muslimin yang sedikit. Allah S.W.T menggambarkan situasi ini dalam al-Quran Surah Al-Ahzab : 9-11, firman-Nya yang bermaksud: 
"Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kalian ketika datang kepada kalian pasukan, lalu Kami mengirimkan kepada mereka angin topan dan pasukan yang tidak dapat kalian lihat." 
Allah menjanjikan pertolongan bagi orang-orang beriman atas musuh-musuhnya. Ini adalah janji yang tidak mungkin diingkari. Selain dalam peperangan Ahzab, Allah S.W.T juga telah menolong kaum muslimin dalam peperangan-peperangan yang lain. Sesungguhnya al- Maunah (pertolongan) pasti datang apabila kita ikhlas dalam perjuangan.
Sumber : JAKIM

Selasa, 15 November 2011

MB Bersama Rakyat

15 November 2011 Hari bertemu pelanggan diadakan di Dewan Serbaguna SUK, Bangunan Setiausaha  Kerajaan, Negeri Perak. Walaupun YAB Menteri Besar kita baru pulang dari menunaikan ibadah haji, beliau terus ingin bertemu rakyat Perak untuk mendengar permasalahan yang dihadapi. Bersama-sama MB, Mej. (K) Datuk Azhar Ahmad selaku Pegawai Khas MB juga merangkap Pengerusi Pertubuhan Dakwah Islamiah Darul Ridzuan setia menemani MB untuk mendengar kan rintihan rakyat negeri.








Isnin, 14 November 2011

Subjek Sejarah dorong Drury peluk Islam



Abdullah Drury ketika sambutan Aidil Fitri bersama dua orang anak lelakinya, Yusuf (kiri) dan Ismail baru-baru ini.


SEBELUM mengenal dan memeluk Islam, Abdullah Drury hidup di tengah-tengah keluarga yang menganut pelbagai aliran dan mazhab dalam Kristian.

Ibunya menganut aliran Jehovah Witness. Bapanya pula seorang Khatolik. Seorang daripada bapa saudaranya penganut Apostolic dan beberapa anggota keluarga yang lain pula penganut Kristian Anglican.

Meskipun begitu, Drury yang berasal dari New Zealand dibesarkan dalam atmosfera yang toleran yang tidak menghalang beliau untuk mengenali apa juga bentuk agama lain.

Terutama pada era tahun 1990an minat Drury terhadap Islam tumbuh segar sejak saat mula beliau mengambil jurusan sejarah ketika melanjutkan pengajian di universiti.

"Begitu sahaja saya mula menyentuh apa sahaja mengenai sejarah pasti ada kaitan dengan Islam, sama ada dari aspek agama Islam itu sendiri.

"Mahupun sejarah yang ditempuhi oleh agama itu tanpa mengira di mana sahaja. Malah ke mana pun saya pergi, saya selalu bertemu dengan Islam. Semua ini membuatkan saya semakin tertarik terhadap Islam," ujar Drury.

Sejak itu tiada perkara lain yang dilakukan oleh Drury di masa lapang kecuali membaca dan terus membaca mengenai Islam.

Banyak buku-buku mengenai Islam habis dibacanya satu persatu. Hasilnya membuatkan beliau begitu yakin dan percaya bahawa Islam adalah agama yang benar.

Maka langkah beliau seterusnya ialah melafazkan dan mengucap dua kalimah syahadah sebagai tanda rasmi memeluk Islam.

Ia adalah langkah Drury yang paling tepat yang pernah dilakukannya sejurus hatinya terbuka untuk menerima agama itu.

Pada Ogos 1996, beliau ditemani dan dibimbing oleh dua tokoh Muslim yang terkemuka di New Zealand bertempat di Bandar Hamilton, iaitu Dr. Mustafa Farouq dan Dr. Anis Ar Rahman serta disaksikan oleh beberapa umat Islam yang lain, Drury akhirnya tanpa kekok malah lancar melafazkan dua kalimah syahadah.
Oleh kerana Drury tidak pernah berahsia mengenai minat mendalam terhadap Islam, malah sering berkongsi minat itu dengan ramai orang terutama ahli keluarga, maka tidak ada pihak yang memandang negatif apatah lagi menentang beliau memeluk Islam itu.

"Rasanya tiada siapa pun yang terkejut. Malah mereka telah menjangka pastinya saya akan memeluk Islam. Alhamdulillah semua ini membuatkan mereka masih menerima saya dengan baik." ungkap Drury.
Ini membuatkan beliau rasa sangat beruntung dan bersyukur berbanding ramai mualaf yang menerima pelbagai reaksi negatif dan ditentang hebat dari ahli keluarga dan anggota masyarakat apabila mendapat tahu telah keluar dari agama asal mereka.

"Setiap kali saya pulang ke rumah ibu saya misalnya, pasti ibu menyediakan hidangan yang halal dengan membeli bahan-bahan yang halal. Sama sekali saya tidak menghadapi sebarang masalah apabila bergelar Muslim," katanya.

Drury mengakui Islam telah membantunya menjadi seorang yang mempunyai pandangan hidup yang jelas. Terutama dalam memahami konsep bahawa dunia ini bukanlah segala-galanya dalam hidup.

"Sedangkan dahulu bapa saya selalu berkata bahwa manusia ini cuma adalah komponen dari sel-sel nukleus! Iaitu manusia (sel) hidup, kemudian mati, lalu dikuburkan, habis setakat itu sahaja.

"Islam mengajarkan kita untuk melakukan sesuatu di dunia ini, yang bukan hanya untuk tujuan material, tetapi kita juga mesti melakukan hal-hal yang lebih baik untuk menghadapi kehidupan selanjutnya di alam selepas mati dalam makna yang spiritual, " ujar Drury.

Jadi, daripada memusatkan keinginan hidup yang hanya untuk mengumpulkan wang dan harta benda, sehingga menjadi taksub menjadi kaya raya, kita sepatutnya juga memfokuskan pada hal-hal yang bersifat spiritual.

"Ini termasuklah melakukan kegiatan bermanfaat sesama muslim di masjid, membantu mereka yang susah atau sekurang-kurangnya banyak meluangkan waktu bersama keluarga. Dan saya selalu menekankan hal ini, bahwa Islam menjadikan hal kebajikan keluarga sebagai hal yang sangat penting," kata Drury yang selalu berusaha meluangkan banyak waktunya bersama keluarga dan anak-anaknya.


Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Majlis Sumbangan Uniform Kediaman Abu Nur

12 November 2011 Alhamdulillah satu program Majlis Sumbangan Uniform Sekolah Kepada Pelajar Kediaman Abu Nur Telah berjaya diadakan di Kediaman Rasmi Y.A.B Menteri Besar Perak Pada Hari Sabtu Yang lalu. Untuk Makluman Sumbangan Unifrom Sekolah Kepada Seramai 44 orang Pelajar telah ditaja oleh Perbandanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Kehadiran Tetamu Dengan jumlah sekitar 70 orang.





 

Khamis, 10 November 2011

Peminpin Cuai, Rakyat Lalai!


Ma'qil Ibnu Yasar r.a berkata Saya mendengar Nabi SAW bersabda :
“Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.”                                   
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)


Huraian Hadith :

Seseorang yang diserahkan kepadanya urusan rakyat lalu dia tidak memelihara rakyatnya dengan sempurna dan tidak mempedulikan urusan-urusan rakyatnya yang membawa mereka kepada kebaikan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat tidak akan mendapat bau syurga kerana pemimpin memegang satu jawatan besar dalam menentukan hala tuju dan masa depan sebuah negara. Jika pemimpin cuai bala akan menimpa rakyat dan negara. Sebaliknya pemimpin yang baik akan menjadi teladan kepada rakyat dan mampu menjaga kemaslahatan rakyat.
Rujukan : JAKIM

Rabu, 9 November 2011

Majlis Qurban Perdana

7 November 2011 Alhamdulillah Program Qurban yang dijalankan di Kediaman YAB Menteri Besar Perak pada pagi Hari Raya Kedua Aidiladha yang melibatkan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah berlangsung dengan jayanya. Sebanyak 12 ekor lembu diqurbankan pada hari ini termasuk lembu dari KADIR. KADIR ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Program Qurban pada tahun ini.




















Majlis Doa Selamat

30 Oktober 2011 "لبيك اللهم لبيك لبيك" "Labbaika ALLAHUMA labbaik"...Majlis Doa Selamat untuk YAB Menteri Besar Perak sempena beliau berangkat ke tanah suci Mekkah pada 31 Oktober 2011...Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran seramai 300 pelajar Mahaad Tahfiz serta jemputan-jemputan khas YAB Dato' Seri DiRaja.