Selasa, 29 November 2011

Salam Maal Hijrah 1433H


Firman Allah S.W.T yang bermaksud di dalam surah Al-Taubah ayat 20 :
 "(Sesungguhnya) orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang Yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang Yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."
Hijrah adalah merupakan puncak pengorbanan Rasul S.A.W dan para sahabat. Kesedihan dan pengorbanan ketika meninggalkan kota Mekah yang dicintai bererti meninggalkan tanah tumpah darah, sanak saudara dan harta demi satu matlamat iaitu demi Islam. Kecintaan Baginda S.A.W terhadap Mekah dan seisinya diketepikan atas arahan dan perintah dari Allah S.W.T, hingga Baginda menitiskan airmata seraya berkata : “Sesungguhnya kamu adalah negeri yang paling saya cinta, jika penduduk kamu tidak mengusirku nescaya aku tidak akan keluar.”

Peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah telah diperakui oleh para cendekiawan Islam sebagai peristiwa yang cukup besar ertinya dan maknanya dalam sejarah Islam. Perkara ini telah pun disepakati di dalam muktamar para sahabat yang mulia.

Signifikan pemilihan peristiwa hijrah sebagai asas tahun dalam taqwin Islam juga membuktikan bahawa hijrah itu adalah pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia adalah satu pilihan yang didilhamkan oleh Tuhan dalam mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama.

Sememangnya perjalanan hijrah itu adalah perjalanan suci yang bermula kerana Allah S.W.T dan untuk Allah S.W.T. Oleh kerana itulah perjalanan Baginda dipenuhi keyakinan kepada jaminan dan perlindungan Allah S.W.T. Bermula dari konspirasi jahat dan kepungan pahlawan-pahlawan Quraisy yang mahu membunih Baginda, gerak kerja yang diilhamkan Allah S.W.T kepada si merpati yang hingga membuat sarang di Gua Tsur sehingga tersungkurnya Suraqah Ibnu Malik yang berkeinginan membolot sejumlah kemewahan dan ganjaran. Semuanya itu adalah bukti bahawa perjalanan suci ini mendapat jaminan dan perlindungan dari Allah S.W.T.

Maka tanyalah pada diri kita, adakah perjalanan kita di muka bumi ini bermula kerana Allah S.W.T dan untuk Allah S.W.T? Berapa kalikan di saat kita kesempitan dan kekurangan tiba-tiba datang pertolongan Allah S.W.T? Berapa banyak musibah dan ujian Allah didatangkan kepada kita lantas kita memohon pertolongan Allah S.W.T? Berapa kalikah ketika mana perpecahan umat Islam khususnya Umat Melayu Islam berlaku kita seru dan laungkan semula untuk bersatu atas nama Allah S.W.T? Demikianlah hijrah datang untuk bertanya soalan demi soalan saban tahun untuk kita jawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan