Isnin, 29 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432H & Selamat Menyambut Hari Merdeka yang ke-54


Bismillahirrahmanirrahim….

Umat Islam menyambut dua perayaan besar pada setiap tahun iaitu Hari Raya Eidul Adha dan Hari Raya Eidul Fitri atau dalam bahasa yang biasa dituturkan adalah ‘Aidil Adha’ dan ‘Aidil Fitri’. Aidil Fitri disambut pada setiap 1 syawal setelah selesai umat Islam berpuasa sebulan di bulan Ramadan. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari Sya’ban.”
                                                           
             (Hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)

“Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa, maka ia untukKu (Allah) dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka hendaklah dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.”

                (Hadis riwayat Bukhari, Muslim)


Di sebalik kegembiraan menyambut perayaan ini jangan kita lupa kepada Ramadan bulan 1000 bulan, penghulu segala bulan, bulan penuh rahmat, keampunan dan kelebihan, bulan diturunkan Al-Quran sebagai pedoman dan pemberi syafaat kelak. Semoga apa yang dilalui dan dipraktikkan pada bulan puasa ini berterusan, berkekalan, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dilupakan. Di dalam sepotong hadis, Jibril A.S berdoa bahawa:

“Celakalah bagi orang yang mendapati Bulan Ramadhan yang penuh berkah, namun tidak memperoleh keampunan.”

Pada tahun ini (2011) di Malaysia, Aidil Fitri dijangka jatuh pada tanggal 30hb Ogos atau 31hb Ogos, ini bermakna ia jatuh pada hari merdeka, dan sudah pasti khutbah-khutbah Aidil Fitri di masjid-masjid dan di surau-surau adalah juga menyentuh tentang kemerdekaan. Betapa beertinya kemerdekaan, sebuah negara yang merdeka, rakyat yang merdeka, individu yang merdeka dalam mengecapi nikmat kehidupan, beridabah, menyambut perayaan, menjalankan kehidupan harian hari-hari yang mendatang dan jika tanpa kemerdekaan dan kebebasan tiadalah bermakna sesebuah negara itu, masyarakat, mahupun individu. Semoga dengan kemerdekaan yang dianugerahkan Ilahi ini dapat dikekalkan dan dipelihara agar kehidupan kita di bumi bertuah ini lebih bermakna dan dihargai serta disyukuri. Sekian, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin dari KADIR


                                 Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)






Khamis, 25 Ogos 2011

Sunat Melambatkan Waktu Bersahur

Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh). Baginda pun menjawab: sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat.

Huraian Hadith: 
1. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.

3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.
                                                                                                                     Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
 
                                                                                                                               Rujukan : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  

Selasa, 23 Ogos 2011

Mencari Lailatul Qadar

Sila layari laman sesawang ini http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=670&cmd=resetall untuk mengatahui perincian tentang Mencari Lailatul Qadar

Isnin, 22 Ogos 2011

Surau Hamdiah Taman Bintang, Pantai Remis

18 Ogos 2011 Pertubuhan Dakwah Islamiah Darul Ridzuan (KADIR) telah di jemput untuk menghadiri jamuan berbuka puasa serta terawih bersama-sama penduduk Taman Bintang, Pantai Remis. Buat pertama kalinya majlis besar-besaran itu berlaku di sini di tengah-tengah padang berdekatan surau tersebut. Walaupun hujan selepas berbuka puasa namun program tetap berjalan lancar. Tazkirah pada malam itu telah disampaikan oleh Ustaz Hariz Fadillah Abdul Halim, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Lebih 100 orang fakir miskin dan warga tua menerima sumbangan dari Mejar (K) Datuk Azhar Ahmad Pengerusi (KADIR) pada malam itu.


























Moh kite berzakat


Bismillahirrahmanirrahim…

Hikmah pensyariatan puasa adalah supaya umat manusia berlapar dan dahaga dengan merasai kesengsaraan mereka yang berada dalam golongan miskin dan fakir. Lalu dari itu akan timbul perasaan kasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain, perasaan insaf, lemah dan saling memerlukan, mensyukuri dan menghargai apa yang dikurniakan Allah pada diri yang tidak ada pada orang lain sekaligus meningkatkan ketaqwaan kita pada Allah S.W.T.

Namun pada hari ini, pada waktu ini, pada saat ini, adakah kita rasai hikmah di sebalik puasa tersebut, atau sekadar tahu tetapi tidak ada kesedaran dalam diri kita terhadap mereka miskin lagi fakir, sedangkan kita berpuasa, bersahur dan berbuka dengan hidangan yang lazat-lazat, makanan, kuih  dan lauk beraneka jenis. Restoran-restoran dan hotel-hotel menyajikan hidangan yang pelbagai dan tidak ketinggalan juga bazaar Ramadan dengan 1001 macam aneka juadah untuk berbuka. Tidak salah kita berbuka dengan hidangan yang enak dan pelbagai setelah penat berlapar dan dahaga di siang hari, tetapi elakkan pembaziran yang berlaku dan meningkat pada setiap kali bulan Ramadan dan bantulah saudara kita yang dalam kesusahan dengan bersedekah dan membayar zakat supaya mereke berasa lapang dan gembira. Mudah-mudahan ianya dapat membantu menyucikan jiwa dan harta, melengkapkan amalan puasa Ramadan supaya kelak di akhirat akan terlepas dari fitnah harta dan dunia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

                Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu Dengan boros Yang melampau. Sesungguhnya orang-orang Yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”       
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                [Surah Al-Isra’ : 26-27]
*Kadar zakat fitrah di Perak bagi tahun 2011 adalah RM 7.00

                                                                                                       Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)

Malam Lailatul Qadar

Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.
                                                                                                                                                   Riwayat:  Al-Bukhari

Huraian Hadith
 
1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.

2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut.

3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.

4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.


                                                                                            Rujukan : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Khamis, 18 Ogos 2011

Ramadan Bulan Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim…

Ibadah puasa disyariatkan kepada umat Islam pada tahun ke dua Hijrah. Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin iaitu Saidatina Aisyah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W berpuasa tiga hari pada setiap bulan dan pada hari Asyura, lalu Allah S.W.T mewahyukan kepada supaya berpuasa sebulan di bulan Ramadan.

Mulianya bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan rahmat, keampunan, dan kelebihan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Tersebut di dalam sepotong Hadis bahawa Baginda S.A.W bersabda :

“Apabila tiba bulan Ramadan, Allah S.W.T perintahkan agar dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan”. 
                                                                                                                                (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni segala dosanya yang telah lalu”.
                                                                                                                (Hadis riwayat Imam Nasai’e)

Hadis di atas menceritakan kelebihan bulan Ramadan dan peluang bagi umat manusia kembali kepada landasan Islam yang betul. Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan bermaksud, Allah S.W.T memperlihatkan kasih sayang serta rahmatNya kepada hamba yang lemah, diringankan azab, dan dijauhi dari gangguan, bisikan syaitan dalam menunaikan ibadah pada bulan Ramadan. Juga bagi orang yang mengerjakan puasa dengan penuh keikhlasan dan keimanan akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu, adapun dosa besar yang terdahulu diampunkan dengan bertaubat bersungguh-sungguh. 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Wahai orang yg beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa kpd Allah.”
                                                                                                                                    [Surah Al-Baqarah : 183]
 
Semoga dengan berpuasa sebulan di bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengawal nafsu dan anggota dari perbuatan yang sia-sia, dan dengan keikhlasan dalam beribadah, mengharapkan keredhaan Allah S.W.T, akan beroleh ketaqwaan. Semoga dengan keimanan dan ketaqwaan, kita dilepaskan serta dijauhkan dari azab api neraka. 

Wallahu’alam..                                                                                                                                                                                                                                                                                          
                                                                                                                                             Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)                                     

Berbuka Puasa Bersama Orang Asli Kg Badok, Hulu Chemor

16 Ogos 2011 Perjalanan kami ke Kg. Badok, Hulu Chepor memakan masa selama sejam untuk sampai ke destinasi. Perkampungan yang cantik dan bersih serta penduduk yang ramah mencecah seramai 150 orang. Surau yang tesergam indah menampakkan lebih 98% penduduk di sini beragama Islam. Surau yang tersergam ini di bina pada 5 Mei 1983 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli pada tahun tersebut. Kedatangan kami ke sana amatlah dialukan oleh penduduk Kg. Badok. Kerjasama yang ditunjukan oleh mereka semasa persiapan berbuka puasa amatlah mengagumi kami dari pihak KADIR. Sesudah berbuka kami bersolat magrib berjamaah dan selepas itu tazkirah pendek tentang Nuzul Al-Quran oleh Prof. Dr. Jasrial Zakir serta penerangan tentang KADIR dan fungsinya oleh Ustaz Hafiz Omar dari KADIR. Kami juga berpeluang solat tarawih berjamaah pada hari itu.








Perlantikan Telah Ditakdirkan

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
Allah tidak mengutuskan seseorang Nabi melainkan ia pernah menternak kambing, lalu para sahabat bertanya, (adakah termasuk) Baginda? Jawab Baginda," ia aku juga seorang yang pernah menternak kambing, dengan upahnya yang sedikit daripada penduduk Mekah".
                                                                                                                                             Riwayat al-Bukhari
Huraian Hadith: 
 
1. Semua Nabi yang dilantik oleh Allah S.W.T. terlibat secara langsung dalam bidang ternakan dan perekonomian.

2. Pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab dalam semua perkara termasuk memajukan ekonomi rakyat dan Negara.

3. Umat Islam dilarang daripada bersifat segan atau malu dari melakukan perkara-perkara yang memberi faedah kepada dirinya, keluarga masyarakat dan Negara.

4. Pemilihan dan perlantikan seseorang itu hendaklah dilihat berdasarkan ilmunya, ketokohannya, kebolehannya demi pembangunan Ummah serta ia mempunyai sifat-sifat bertanggungjawab dan beramanah.
                                                            
                                                                                               Rujukan : Jabatan Kemanjuna Islam Malaysia (JAKIM)                                                                      

Selasa, 16 Ogos 2011

Nuzul Al-Quran

Nuzul bermaksud penurunan atau diturunkan sesuatu, makakala Al-Quran pula bermaksud Firman Allah S.W.T. yang merupakan mukjizat yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad dengan perantaraan bahasa arab dengan lafaz dan makna yang membacanya menjadi satu ibadah.

Nuzul Quran merupakan antara satu peristiwa agong bersejarah penuh rahmat yang berlaku kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W, umat akhir zaman, serta makhluk sekalian alam. Ianya merupakan peristiwa permulaan turunnya Al-Quran, wahyu yang pertama kepada insan yang bernama Muhammad Bin Abdullah dan ianya merupakan pengutusan serta pelantikan baginda sebagai seorang Nabi akhir zaman.

Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Quran. Majlis Tilawah Al-Quran juga tidak pernah ketinggalan diadakan bersempena meraikan bulan yang penuh keberkatan ini.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi  manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)”
                                                                                                                                                              [Surah Al-Baqarah : 185]

                “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang mulia”
                                                                                                                                                                [Surah Al-Qadr : 1]

Berlakunya peristiwa diturunkan Al-Quran ini pada bulan Ramadan dan menurut riwayat daripada isteri Baginda iaitu Aishah R.A. bahawa sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama yang diturunkan dan disampaikan oleh Jibril A.S dengan izin Allah S.W.T. iaitu lima (5) ayat yang pertama dari Surah Al-Alaq, merupakan  Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan pena. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
                                                                                                                                                                        [Surah Al-Alaq 1-5]
                                                                                                                                                                                           
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W bukan sekadar wahyu. Bahkan Ianya perlu dibaca, difahami, dihayati, disebarkan dan dijadikan panduan dan pedoman serta penghujahan yang benar untuk menghapuskan kebatilan, kecelaruan, pertelingkahan, perselisihan sesame umat manusia.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara, jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya”    
                                                                                                                                    (Hadis Riwayat Muslim)


Justeru, umat Islam wajib mengambil Al-Quran sebagaimana yang Allah perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Quran sebagaimana Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya dan ianya bukan sekadar untuk diperingati dan dibaca, bahkan diamalkan dan disampaikan dan diajarkan.



                                                                                                Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)

Isnin, 15 Ogos 2011

BERBUKA PUASA BERSAMA-SAMA ORANG ASLI DI KG. AWAL, SG. SIPUT

9 OGOS 2011 Pertubuhan Dakwah Islamiah Darul Ridzuan (KADIR) telah turun padang pada Ramadhan ini untuk memenuhi aktiviti-aktiviti bulanan. Program di kampung Awal ini mengabungkan pendakwah-pendakwah KADIR berhimpun dan berbuka puasa bersama-sama orang asli di kampung tersebut. Turut hadir pada program ini adalah Pengerusi KADIR iaitu Mejar (K) Datuk Azhar Ahmad dan Tuan Panjang Ali Pegawai Perhubungan Orang Asli Perak. Kami juga sempat menunaikan solat sunat Tarawih pada hari itu.
 





Ustaz Hafiz dari KADIR mendahului bacaan tahlil sebelum berbuka






Jumaat, 12 Ogos 2011

Fadilat Ramadhan

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

                                                                                                              Rujukan : Universiti Pendidikan Sultan Ideris