Islam melarang judi kerana ia menjadikan manusia menggantungkan harapannya kepada nasib, keuntungan yang tiba-tiba serta cita-cita kosong bukan kepada pekerjaan dan usaha melalui sebab musabab yang ditentukan oleh Allah taala. Islam bertujuan untuk menjaga harta manusia dari musnah dan diambil secara salah. Sedangkan judi memusnahkan harta penjudi dan membuka pintu untuk mengambil harta orang lain melalui untung nasib semata-mata dan cara yang zalim serta menganiaya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman. Sesungguhnya arak, judi, berhala, anak panah (judi) adalah najis (kotor) dari kelakuan syaitan. Jauhilah ia supaya kamu beroleh kemenangan. Sesungguhnya syaitan bertujuan menjadikan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat". (Al-Maidah, 90-91)
Kepada muda-mudi, jauhkan diri dari berjudi dan apa yang membawa kepadanya, bergaul dengan penjudi atau kaki judi, dan tidak mudah terpengaruh dengan ajakan, godaan, bisikan syaitan dengan menyibukkan diri dengan aktiviti yang sihat, yang menambah keimanan, dan berfaedah untuk masa depan.
Maka ibu-bapa perlu ada kesedaran dan tegas dalam memantau pergerakan dan pergaulan serta aktiviti anak-anak, terutamanya pada sebelah malam untuk mengelakkan mereka dari terjebak kepada perkara yang tidak baik ini.
Ibu-bapa dan guru juga perlu memberi motivasi, membentuk pemikiran masyarakat supaya lebih berpikiran jauh untuk kepentingan masa hadapan, dan masa depan generasi akan datang.
Pihak berkuasa terbabit pula wajib membantu memberi penerangan, membuat pemantauan dan mengambil pendekatan yang pantas dan berkesan bagi menghalang masyarakat Islam dari terjebak ke lembah kemungkaran ini.
Kesimpulannya, anak muda-mudi zaman sekarang sukakan hiburan dan sesuatu aktiviti yang baru, berhibur tiada salahnya tetapi ada batasannya dan hadnya, begitu juga dalam beraktiviti. Islam itu agama yang mengambil berat terhadap setiap penganutnya supaya tidak hilang pertimbangan diri, merugikan masa, diri, harta, dan supaya tidak menyesal di masa hadapan. Setiap masalah ada penyelesaiannya, perlu diselesaikan dengan cara yang betul, mengikut saluran yang tepat, dan dengan berjudi bukanlah cara penyelesaian masalah yang baik, dan Islam tidak meredainya. Semoga masyarakat hari ini lebih matang dan berfikiran jauh.
Oleh : Ust. Hafiz Omar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan