Bismillahirrahmanirrahim..
Baru-baru ini rakyat Malaysia khususnya, telah dikejutkan dengan berita bahawa gugurnya seorang jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang terkena peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, kematiannya dikategori syahid akhirat kerana membantu orang Islam dalam kesusahan.
‘Syahid dunia’ menjurus kepada peperangan kerana dunia, ‘syahid akhirat’ pula merujuk kepada kematian yang disebabkan penyakit berbahaya seperti wabak taun atau ditembak, manakala pejuang yang mati disebabkan perang bagi mempertahankan agama Islam pula dianggap mati ‘syahid dunia akhirat’.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang Yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki. Mereka bersukacita Dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman.”
[Surah Ali Imran : 169-171]
Dalam kejadian menimpa arwah, pahala kematiannya insya-Allah syahid akhirat, namun urusan pengebumiannya masih perlu melalui proses sama seperti jenazah lain iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akhir sekali dikebumikan di tanah perkuburan. Semoga apa yang beliau lalui menjadi sumber inspirasi buat pejuang-pejuang Islam dan pendakwa-pendakwah Islam untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan Negara. Semoga Allah S.W.T melimpahkan rahmat dan menempatkan arwah bersama-sama orang yang syahid di jalan-Nya, amin….Al-Fatihah!
Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan