Bismillahirrahmanirrahim…
Hikmah pensyariatan puasa adalah supaya umat manusia berlapar dan dahaga dengan merasai kesengsaraan mereka yang berada dalam golongan miskin dan fakir. Lalu dari itu akan timbul perasaan kasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain, perasaan insaf, lemah dan saling memerlukan, mensyukuri dan menghargai apa yang dikurniakan Allah pada diri yang tidak ada pada orang lain sekaligus meningkatkan ketaqwaan kita pada Allah S.W.T.
Namun pada hari ini, pada waktu ini, pada saat ini, adakah kita rasai hikmah di sebalik puasa tersebut, atau sekadar tahu tetapi tidak ada kesedaran dalam diri kita terhadap mereka miskin lagi fakir, sedangkan kita berpuasa, bersahur dan berbuka dengan hidangan yang lazat-lazat, makanan, kuih dan lauk beraneka jenis. Restoran-restoran dan hotel-hotel menyajikan hidangan yang pelbagai dan tidak ketinggalan juga bazaar Ramadan dengan 1001 macam aneka juadah untuk berbuka. Tidak salah kita berbuka dengan hidangan yang enak dan pelbagai setelah penat berlapar dan dahaga di siang hari, tetapi elakkan pembaziran yang berlaku dan meningkat pada setiap kali bulan Ramadan dan bantulah saudara kita yang dalam kesusahan dengan bersedekah dan membayar zakat supaya mereke berasa lapang dan gembira. Mudah-mudahan ianya dapat membantu menyucikan jiwa dan harta, melengkapkan amalan puasa Ramadan supaya kelak di akhirat akan terlepas dari fitnah harta dan dunia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu Dengan boros Yang melampau. Sesungguhnya orang-orang Yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
[Surah Al-Isra’ : 26-27]
*Kadar zakat fitrah di Perak bagi tahun 2011 adalah RM 7.00
Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan