Selasa, 16 Ogos 2011

Nuzul Al-Quran

Nuzul bermaksud penurunan atau diturunkan sesuatu, makakala Al-Quran pula bermaksud Firman Allah S.W.T. yang merupakan mukjizat yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad dengan perantaraan bahasa arab dengan lafaz dan makna yang membacanya menjadi satu ibadah.

Nuzul Quran merupakan antara satu peristiwa agong bersejarah penuh rahmat yang berlaku kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W, umat akhir zaman, serta makhluk sekalian alam. Ianya merupakan peristiwa permulaan turunnya Al-Quran, wahyu yang pertama kepada insan yang bernama Muhammad Bin Abdullah dan ianya merupakan pengutusan serta pelantikan baginda sebagai seorang Nabi akhir zaman.

Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Quran. Majlis Tilawah Al-Quran juga tidak pernah ketinggalan diadakan bersempena meraikan bulan yang penuh keberkatan ini.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi  manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)”
                                                                                                                                                              [Surah Al-Baqarah : 185]

                “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang mulia”
                                                                                                                                                                [Surah Al-Qadr : 1]

Berlakunya peristiwa diturunkan Al-Quran ini pada bulan Ramadan dan menurut riwayat daripada isteri Baginda iaitu Aishah R.A. bahawa sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama yang diturunkan dan disampaikan oleh Jibril A.S dengan izin Allah S.W.T. iaitu lima (5) ayat yang pertama dari Surah Al-Alaq, merupakan  Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan pena. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
                                                                                                                                                                        [Surah Al-Alaq 1-5]
                                                                                                                                                                                           
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W bukan sekadar wahyu. Bahkan Ianya perlu dibaca, difahami, dihayati, disebarkan dan dijadikan panduan dan pedoman serta penghujahan yang benar untuk menghapuskan kebatilan, kecelaruan, pertelingkahan, perselisihan sesame umat manusia.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara, jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya”    
                                                                                                                                    (Hadis Riwayat Muslim)


Justeru, umat Islam wajib mengambil Al-Quran sebagaimana yang Allah perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Quran sebagaimana Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya dan ianya bukan sekadar untuk diperingati dan dibaca, bahkan diamalkan dan disampaikan dan diajarkan.



                                                                                                Rujukan : Ustaz Hafiz Omar (KADIR)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan